Sunday, February 22, 2009

Akuakultur di Sg. Pahang

Sg Pahang merupakan kawasan utama penghasilan sumber protin berasaskan ikan air tawar dari spesis permintaan ramai seperti Patin, Baung,Belida, Lampam, Kerai,Gerahak,Ketutu,Kaloi, Temoleh dan sebagainya.Permintaan terhadap spesis-spesis yang menghuni Sg Pahang ini amat menggalakkan dan ramai nelayan sungai mendapat hasil yang lumayan dari jualan ikan-ikan tersebut. Harga bagi spesis ikan Patin Buah mencecah RM 40 sekilogram, apatah lagi sekiranya mendapat spesis yang jarang dijumpai seperti Patin Muncung.

Namun kini, agak sukar untuk mendapatkan ikan -ikan tersebut seiring dengan peredaran zaman dan penciptaan teknologi terkini disamping aktiviti-aktiviti tidak bertanggung jawab segelintir masyarakat kita.

Setelah menyedari keadaan tersebut ramai yang telah beralih kepada kaedah atau aktiviti yang lebih mudah dan menghasilkan pendapatan yang lumayan iaitu penternakan ikan air tawar di dalam sangkar terapung disepanjang Sg. Pahang. Contoh yang jelas adalah pengukuhan ekonomi masyarakat Kemboja yang menghuni disepanjang tebing sungai Pahang khususnya di kawasan Pulau Keladi, Pekan. Kedudukan ekonomi masyarakat tersebut tampak meningkat dengan mendadak setelah menceburi bidang penternakan ikan air tawar sekitar 80an dan kini mereka merupakan pembekal utama dalam industri tersebut.

Namun masyarakat Melayu juga tidak ketinggalan dalam mengejar peluang yang tersedia didalam bidang akuakultur ini. Menurut bancian dari Jabatan Perikanan dan FAMA, terdapat lebih 200 orang penternak yang aktif dalam penghasilan produk utama dari Sg. Pahang ini. Dan ramai daripada penduduk setempat telah menjadikan bidang ini sebagai profesyen tetap dan telah menjadi usahawan yang berjaya didalam bidang akuakultur ini. Antara spesis yang diternak didalam sangkar terapung ini ialah Patin Hitam, Patin Mas, Patin Buah, Baung Tembaga, Lampam, Tilapia Merah, Kerai dan sebagainya.

Risiko Penternakan Ikan Sangkar di Sg. Pahang.
1. Anak Benih ikan kurang bermutu.
Penghasilan anak benih ikan yang kurang bermutu banyak memberi kesan dan impak kepada penternak. Anak ikan tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitan baru sangkar lantaran kurang daya tahan terhadap persekitaran dan ciri-ciri persekitaran air sungai dan seterus nya mati setelah dua atau tiga hari dilepaskan kedalam sangkar.
2. Kenaikan Harga makanan Ternakan
Faktor ini merupakan faktor yang harus ditangani dengan segera oleh pihak yang berwajib. Kenaikan harga makanan ternakan amat-amat membebankan penternak ikan air tawar di Sg. Pahang. Purata kegunaan satu sangkar Ikan Patin berusia 3 bulan adalah satu beg setiap hari, dimana harga satu beg "palet" makanan ikan mencecah RM 50 setaip beg. Kos perbelanjaan yang tinggi ini memaksa penternak untuk menjual hasil dengan harga yang lebih tinggi, namun harga permintaan masih rendah. Fenomena ini tampak akan memberi kesan yang negatif dalam industri akuakultur di Sg. Pahang.